Program Saintis Turun Sekolah – Kitaran 2 Program STI 100³

Program Saintis Turun Sekolah – Kitaran 2 Program STI 100³
4 February 2026
SMK Air Merah
Kulim, Kedah

Program Saintis Turun Sekolah – Kitaran 2 Program STI 100³ telah dilaksanakan secara kolaboratif antara Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh dan SMK Air Merah, Kulim, Kedah bagi tempoh Disember 2025 hingga Februari 2026. Program ini bertujuan menyemai minat, kefahaman serta apresiasi pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui pendedahan berstruktur dan berasaskan aplikasi. Program ini diterajui oleh Pengajian Kejuruteraan Kimia, UiTMCPP dengan kerjasama Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Bahagian Penyelidikan, Jairngan Industri, Masyarakat & Alumni (PJIMA) UiTMCPP.

Pelaksanaan program merangkumi tiga siri utama. Siri 1 memfokuskan kepada Design Thinking dan Inovasi Alam Sekitar, yang menekankan kaedah penyelesaian masalah secara berfasa, kreatif dan berorientasikan kelestarian. Siri 2 pula menumpukan kepada pengaturcaraan Python menggunakan kit EduPico, bagi membina asas pemikiran komputasional, logik algoritma dan kemahiran pengkodan secara hands-on. Siri 3 akan melibatkan mini showcase serta pertandingan projek STEM bagi pelajar terlibat, bertujuan menilai kefahaman, kreativiti dan keupayaan aplikasi ilmu melalui pembentangan dan demonstrasi projek.

Sebagai sokongan berterusan kepada pembangunan STEM, UiTM Cawangan Pulau Pinang berbesar hati menyumbangkan 10 set kit EduPico dan 1 set sistem hidroponik untuk kegunaan Kelab STEM serta kelas Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di SMK Air Merah. Program ini telah dirasmikan oleh Prof Madya Dr Kay Dora Abd Ghani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA), UiTM Cawangan Pulau Pinang. Secara keseluruhannya, program ini berjalan lancar dan menerima maklum balas positif, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkasa bakat muda berteraskan ilmu, inovasi dan kelestarian. Projek ini diterajui saintis dilantik iaitu Ir Ts Mohamed Syazwan Bin Osman dan Dr Adi Izhar Che Ani.

Galeri Gambar

Need Help?